Wednesday, August 01, 2012

Kes Rafizi: Rakyat tambah benci pemimpin korup


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius penahanan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah BAFIA (Akta Institusi Perbankan dan Kewangan) hari ini.

(Rafizi bersama Dr Dzulkefly Ahmad dan N Surendran di perkarangan mahkamah hari ini)

“Bagi DPPM tangkapan ke atas Rafizi membuktikan kerajaan bersikap tidak ikhlas dan telus dalam memastikan negara ini bebas dari rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Katanya, DPPM menganggap tindakan ke atas Rafizi lebih dilihat sebagai tindakan politik pihak tertentu yang tersepit dan cemas dengan pelbagai pendedahan berani serta sensasi oleh beliau.

“Tindakan ini juga seperti suatu ancaman ke atas beliau ekoran kejayaan beliau mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC) serta ugutan kepada pemberi-pemberi maklumat lain supaya jangan memberi kerjasama kepada ‘whistle blower’ skandal pemimpin negara ini.

“Malah beliau juga mempunyai siri-siri pendedahan skandal pemimpin negara yang mempunyai kepentingan terhadap projek tertentu serta terlibat dalam pelbagai penyelewengan,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya melihat isu yang ditimbulkan oleh Rafizi jauh lebih utama dan penting berbanding tindakannya membocorkan maklumat.

Tambahnya, tindakan Rafizi wajar dipuji kerana usahanya memastikan negara ini bebas daripada penyangak-penyangak rasuah oleh pemimpin-pemimpin negara.

DPPM menegaskan, ujarnya negara ini menuju kemusnahan jika jenayah rasuah dibiarkan berleluasa manakala pemberi maklumat diambil tindakan.

“Politik dendam dan hasad dengan menghukum seseorang hanya kerana individu tersebut bercakap benar adalah tindakan keji golongan yang menolak kebenaran,” ujarnya.

Bagi rakyat, tegasnya tindakan itu bukan melunturkan semangat mereka mahukan perubahan, malah menambah lagi sentimen kebencian mereka melihat kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin yang korup dan mementingkan diri sendiri.

No comments: