Wednesday, September 12, 2012

FGVH: Kerajaan tak dengar kata, saham merudum


TUMPAT: Akibat kerajaan tidak mahu mendengar pandangan orang lain termasuk pegawai Felda serta peneroka, saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) mencecah serendah RM4.57 seunit.

AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) berkata kejatuhan saham itu paling rendah sejak ianya mula merudum beberapa hari lalu sebanyak RM4.69 seunit selepas mencatat kedudukan paling tinggi sejak Julai lalu, RM5.55.

Katanya, apa yang berlaku akibat tindakan kerajaan memperdagangkan masa depan peneroka Felda melalui penyenaraian saham Felda sehingga menjadikan saham sebagai barang dagangan negara dan di peringkat antarabangsa.

Katanya, saham Felda itu kini telah menjadi milik syarikat-syarikat asing, syarikat judi yang mana semua syarikat itu motif utama mereka adalah perniagaan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui pada majlis Aidilfitri bersama peniaga Kedai Bebas Cukai, Pengkalan Kubur, di sini semalam sebagai mengulas saham Felda menjunam jatuh sehingga RM4.57 seunit.

Katanya lagi, apabila ekonomi tidak lagi memberikan keuntungan yang mudah kepada pemegang saham itu mereka sewenang-wenang akan menjualkannya tanpa mengira kesannya terhadap peneroka.

“Walaupun jumlah unit saham hanya 800 sahaja, tetapi dengan kerugian yang dialami, mereka terpaksa membuat pinjaman bank dan pinjaman yang lain untuk membeli sahaja-saham itu,” ujarnya lagi.

Kamaruddin seterusnya berkata, peneroka tidak pandai menjual atau membeli saham apa lagi menguruskannya, tetapi apabila disedari tiba-tiba harga menjadi rendah.

“Bila dicampur dengan kos kerugian, pinjaman dan sebagainya peneroka mengalami kerugian yang amat besar berikutan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan rakyat serta pihak lain,” ujarnya.

Katanya, Felda, hasilnya dan bumi Felda sepatutnya seratus peratus dimiliki oleh peneroka dan seterusnya generasi kedua kedua atau ketiga dan seterusnya.

Beliau tidak menafikan apa yang berlaku itu ‘permainan’ saham dan lumrah berlaku, sebaliknya risiko yang tidak sewajarnya berlaku terpaksa ditanggung oleh peneroka kerana ‘offer’ tidak bijak kerajaan untuk rakyat.

“Kerana kedegilan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan pegawai Felda, ramai antara mereka disisihkan, ditukar dan berbagai lagi dan sekarang kita tengok apa yang berlaku,” ujarnya.

Katanya, bagi membantu kerajaan menampung kerugian dalam saham itu, KWSP pula diminta membantu.

Sambungnya, jika langkah itu diambil dividen yang diperolehi pencarum juga akan menjadi kecil jumlahnya.

Katanya, kerajaan seharusnya menjadikan pengalaman Tabung Haji Plantation  yang gagal sebagai panduan sebelum saham Felda disenaraikan.

“Soalan kita, adakah ahli-ahli Tabung Haji mendapat keuntungan yang besar atau dividen yang tinggi selepas ianya disenaraikan sebagai saham.

“Hujah yang sama diberikan pada saham FGVH ini, jangankan mendapat untung yang besar, rugi pula yang terpaksa ditanggung,” ujarnya.

No comments: