KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dijadualkan pada 18
September ini bakal ditunda lagi.
Rafizi menjelaskan pihaknya
telah menerima surat dari peguam bekas menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat itu, Shafie Abdullah yang meminta kes tersebut
ditangguhkan ke satu tarikh yang lain.
"Peguam saya telah
menerima surat dari pihak Sharizat meminta kes tersebut ditunda kepada
satu tarikh yang lain dan tarikh baru itu belum saya perolehi.
"Namun
apa yang saya rasakan penundaan kes tersebut dilakukan adalah mempunyai
hubungkait dengan apa yang telah berlaku pada Shahrizat ketika beliau
disoal oleh barisan peguam kita di makhamah tempoh hari," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran PKR Cabang Kuala Pilah di Seremban semalam.
Shahrizat
ketika menjawab pertanyaan Ranjit Singh ketika perbicaraan sebelum ini
berhubung penglibatan keluarganya dalam projek tersebut berkata, beliau
tidak mengetahuinya sehinggalah diberitahu oleh suaminya pada tahun 2007
yang meminta kedua-dua anaknya yang berada di luar negara balik ke
Malaysia bagi membantu menguruskan projek tersebut.
Menurut
Rafizi, jawapan Shahrizat itu mungkin mendapat kecaman dalaman Umno yang
menunjukkan kepincangan kredibiliti beliau sebagai menteri sebelum ini
serta Ketua Wanita Umno.
"Imej Umno telah rosak kerana jawapan
yang diberikan olehnya di mahkamah, malah rakyat sudah hilang keyakinan
terhadapan kes tersebut serta peranan Umno dalam membantu rakyat.
"Mungkin
atas sebab itulah barisan pimpinan Umno mengambil tindakan mengecam
beliau yang langsung tidak menunjukkan ketokohan beliau sebagai orang
penting dalam Umno," ucapnya di hadapan kira-kira 500 penyokong PKR.
Shahrizat
sebelum ini telah mengemukakan saman RM100 juta terhadap Rafizi dan
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung penyelewengan projek
kontroversi NFC.
Hakim, Vazeer Alam Mydin Meera sebelum ini
menetapkan 18 September ini bagi sambungan perbicaraan setelah mendengar
keterangan Sharizat ketika menjawab pertanyaan dari peguam plantif,
Ranjit Singh.
Bagaimanapun peguam mewakili Shahrizat didakwa telah menghantar surat agar ianya ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Rafizi
diwakili Peguam, Ranjit Singh, Zuraida pula diwakili oleh Razlan Hadri
manakala Sharizat pula diwakili peguam Shafie Abdullah.
No comments:
Post a Comment