Wednesday, January 09, 2013

Apa bukti negara bahaya jika bertukar kerajaan


KUALA LUMPUR: “Insya Allah rakyat akan hidup selesa dalam dunia baru yang mereka tidak pernah kecapi setelah 55 tahun merdeka,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.


Justeru, beliau mempersoalkan atas asas apa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Matahir Mohamad bercakap bahawa negara bahaya jika bertukar kerajaan.

Menurutnya, mungkin Mahathir tidak sedar bahawa sudah ada empat negeri, Umno menjadi pembangkang.

“Kelantan sudah 22 tahun berkembang dengan pesat. Rakyat hidup aman tanpa apa-apa rusuhan. Tiga negeri PR berpindah kuasa dengan baik, dan berjaya mengurus tadbir dengan baik.

“Buktinya ialah pelabur berani melabur. Simpanan kerajaan Selangor daripada RM400 juta kepada RM2.53 bilion,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Mahathir yang mengaku Umno lemah di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak, walau bagaimanapun kena pertahankan.

Mahathir dilaporkan berkata demikian selepas menghadiri sesi dialog bersama anggota Kelab Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Beliau mengharapkan semua semua ahli Umno agar tidak membuat penilaian terbuka tentang baik buruknya, sebaliknya menggemblengkan tenaga untuk memastikan BN boleh mendapat majoriti dua pertiga.

Apabila BN menang dan bentuk kerajaan maka bolehlah tegur dan menggodam.

“Semua maklum, era kepimpinan Najib sarat dengan masalah, daripada masalah peribadi, isteri dan parti. Tidak pernah berlaku di dalam sejarah Perdana Menteri yang lepas teragak-agak untuk mengadakan pilihan raya,” kata Idris.

Beliau berkata, Mahathir masih menggunakan taktik lama jika kerajaan bertukar negara akan menghadapi bahaya dengan memberi ingatan kepada generasi muda supaya mengenang jasa Umno kepada negara.

“Nampaknya Tun masih belum sedar bahawa beliau bercakap dengan anak muda yang mempunyai kesedaran maklumat yang tinggi. Mungkin dia membayangkan beliau berucap di hadapan pemuda tahun 80-an,” ujarnya.

Katanya, Mahathir terpaksa mempertahankan Najib kerana demi masa depan anak-anaknya dan kroni.

“Beliau sedar jika kerajaan bertukar pemimpin Umno dan kroni beliau akan kebuluran dan kehausan.

“Selepas PRU12, rakyat di empat negeri telah membuat percubaan. Sekarang giliran rakyat seluruh negara akan menggemblengkan tenaga untuk menukar kerajaan di peringkat pusat,” ujarnya.

No comments: