Wednesday, January 09, 2013

Erat hubungan, Pemuda PAS lawan bolasepak dengan artis

KUALA LUMPUR: Setelah kejayaan mengadakan pertandingan futsal bersama kumpulan artis sebelum ini, Pemuda PAS Malaysia sekali lagi menganjurkan program hampir sama.

Pada 5 Januari lalu, satu perlawanan bola sepak persahabatan dianjurkan Lajnah Sukan, Seni dan Budaya (DACS) Pemuda PAS Pusat bersama Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) yang melibatkan beberapa artis terkemuka.

Bertempat di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Seksyen 21, Shah Alam, pertembungan di antara kedua-dua pasukan begitu sengit, namun harmoni.

Menurut Pengarah DACS, Halim Ahmad, perlawanan pada malam itu berlangsung dalam suasana meriah dan santai, di mana ramai penyokong dan peminat artis turut menonton perlawanan tersebut.

"Kebanyakan exco pemuda menyertai perlawanan ini, termasuk Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan.  Selepas perlawanan, ada majlis bertukar-tukar cenderamata dan juga jamuan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Antara artis yang turut turun padang ialah Danny X-Faktor, Syed Aiman, Zahid AF, Fiq F, Fizo Omar dan beberapa artis lain.

Perlawanan bola sepak itu berakhir dengan Pemuda mengalahkan MACS 3-2.

No comments: