Sunday, March 10, 2013

Kenyataan Najib jejas operasi keselamatan - PKR


PETALING JAYA: Kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani pencerobohan di Sabah telah menjejaskan operasi dan kedaulatan negara, kata Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli.

Beliau merujuk kepada kenyataan berasingan yang dilaporkan di negara ini dan Filipina semalam bahawa Najib mengakui beliau hanya mula bertindak mengambil jalan ketenteraan apabila lapan anggota polis terbunuh.

Jelas Rafizi, kenyataan Najib itu mengesahkan keraguan banyak pihak sebelum ini bahawa Najib mengambil masa yang terlalu lama untuk berunding dengan pencerobohan Sulu.

PKR berpendapat, adalah wajar seluruh operasi keselamatan di Sabah diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM tanpa campur tangan politik.

"Ini untuk mengelakkan berulangnya salah pertimbangan di peringkat awal pencerobohan apabila ketenteraan hanya dibuat apabila nyawa anggota keselamatan terkorban setelah rundingan yang panjang tidak membuahkan hasil,"katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Tambahnya, demi menjaga keselamatan anggota tentera dan polis yang melaksanakan operasi di Sabah, wajarlah keputusan diserahkan kepada ATM dan PDRM tanpa terlalu terikat dengan keputusan politik.

Rafizi turut melahirkan kebimbangan dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Kabinet Filipina Rene Almendrass bahawa Najib bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penceroboh Sulu dengan syarat mereka hanya perlu meninggalkan atau menyembunyikan senjata dan meninggalkan Sabah.

"Lebih membimbangkan laporan itu turut menyebut persetujuan pentadbiran Najib untuk membuka kembali soal tuntutan terhadap Sabah yang di bawa oleh penceroboh Sulu.

"Kedua-dua keputusan itu, jika benar, menjejaskan kedaulatan negara," katanya.

Tegas Rafizi, tawaran untuk penceroboh meninggalkan atau menyembunyikan senjata tanpa dikenakan apa-apa tindakan memberi isyarat yang buruk bahawa kerajaan Malaysia boleh bertolak ansur dengan penceroboh sedemikian rupa.

"Ini akan menjemput lebih banyak penceroboh di masa hadapan apabila mereka boleh menyusup masuk dan mengambil semula senjata yang disembunyikan," katanya.

Katanya, perkembangan ini memberi gambaran bercelarunya tindak balas dan keputusn yang dibuat oleh Najib Tun Razak dalam menangani peristiwa pencerobohan ini.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak ada pilihan kecuali menjawab persoalan ini di dalam sidang parlimen mengenai pencerobohan di Sabah.
"Jika beliau terus mengelak maka keraguan di pihak rakyat tertanya-tanya kenapa krisis ini tidak ditangani dengan lebih tegas dan cepat akan terus berlegar," katanya.

No comments: