Monday, December 24, 2012

Jangan bangga dengan hufaz, laksana kandungan al-Quran

(Para hufaz yang menerima sijil mereka)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan para hufaz tidak berbangga dengan ‘sijil’ bukti tamat menghafaz al-Quran, kerana ianya tidak ke mana andai hanya tahu membaca dan menghafaz sahaja.

Menurutnya, al-Quran bukan untuk dibaca sahaja, sebaliknya untuk difahami serta melaksanakan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis graduasi tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) kali ke-3, di Putik, baru-baru ini.

Kata TG Nik Aziz, al-Quran jangan hanya dibaca, sebaliknya laksanakan apa yang terkandung di dalam al-Quran.

(Salah seorang hufaz menerima sijil dari TG Nik Aziz)

“Generasi hari ini bakal pelapis masa depan negara, ingat jangan sekali-kali membelakangkan sunnah dan al-Quran kerana ianya panduan untuk kita dan masyarakat seluruhnya,”ujarnya lagi.

Turut berucap pada majlis itu Pengarah Yik, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Seramai 247 orang pelajar tahfiz kelolaan Yik tamat hafaz al-Quran dan menerima sijil masing-masing melalui Tuan Guru dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Sempena majlis ini, pelajar Maahad Tahfiz Sains Al-Quran Bistanul Arifin, Muhammad Yusof Nazaruddin diumumkan tokoh tahfiz Yik tahun ini.

Hafiz terbaik sekolah, pelajar-pelajar dari MTAQ Pulai Chondong, MTS Tanah Merah Lelaki (L), MTS Tanah Merah (P), MTS Nurul Aman, MTS AlMuhammadi dan MTQ Asriah Banggol Chicha.

Al Quran tulisan tangan terbaik dimenangi Muhammad Fadzli Nasir pelajar dari MTQ Asriah Banggol Chicha.

Sunday, December 23, 2012

Occupy Dataran: Tabah dan teruskan perjuangan


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menyeru mahasiswa yang terlibat dengan ‘Occupy Dataran’ supaya terus beristiqamah dan tabah dalam memperjuangkan keadilan untuk Umar Mohd Azmi yang kini dipenjara di Penjara Kajang.
“Syabas dan tahniah buat mahasiswa yang terus bangkit dan bertahan untuk menuntut serta memperjuangkan keadilan.

“DPPM (Dewan Pemuda PAS Malaysia) mengharapkan mahasiswa tertindas terus sabar dan tabah berjuang. Semoga Allah membuka pintu hati rakyat untuk turut bangkit melakukan perubahan menolak penindasan,” kata Nasrudin kepada Harakahdaily lewat petang semalam.

Umar, 23, seorang aktivis ketika protes ‘Occupy Dataran’ April lalu sebelum perhimpunan Bersih 3.0 dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kelmarin kerana didakwa menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas semasa serbuan terhadap gerakan mahasiswa pada April lalu.

Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.


Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa tidak adil.

Ekoran hukuman kepada Umar, sekumpulan aktivis pelajar, terutamanya dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah berkumpul di luar Penjara Kajang untuk memberikan sokongan.

Sebanyak empat khemah telah didirikan untuk sebilangan aktivis 'berkampung' di hadapan Penjara Kajang sebagai tanda sokongan terhadap Umar.

Umar juga menghantar mesej kata-kata semangat berbunyi "Dunia belum kiamat, Berjuang sampai tamat" buat rakan-rakan yang 'berkampung' di luar penjara itu.


Selain mahasiswa, turut hadir memberi sokongan siang tadi termasuk ahli politik dari Pakatan Rakyat seperti Ahli Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat, Kartunis Zunar serta selebriti Abby Abadi.

Mengulas mengenai hukuman tersebut, Nasrudin berkata hukuman tersebut adalah sangat tidak setimpal berbanding dengan hukuman yang dijatuhkan kepada pemain boling Nor Afizal Azizan, 20, yang terlepas daripada hukuman penjara atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu.

Bekas jaguh boling Kejohanan Remaja Kebangsaan ke-30 dan atlet Sukan Malaysia negeri terlepas hanya dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 tanpa cagaran meskipun mengaku bersalah merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu.

“Kalau ini dikatakan keadilan, transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak boleh dibuang dalam bakul sampah sahaja. Ini buat pening rakyat sahaja,” kata Nasrudin.

DPPM, katanya, akan melawat mahasiswa ‘Occupy Dataran’ di Penjara Kajang dalam waktu terdekat sebagai sokongan padu untuk gerakan tersebut.

Umar hantar mesej 'semangat' dari kamar besi


 
KUALA LUMPUR: Aktivis 'Occupy Dataran', Umar Muhammad Azmi yang ditahan di Penjara Kajang sejak semalam menghantar mesej kata-kata semangat buat rakan-rakan yang 'berkampung' di luar penjara itu.

Mesej tersebut berbunyi "Dunia belum kiamat, Berjuang sampai tamat," dikirim Umar kepada rakan-rakan melalui bapanya yang hadir melawatnya tengah hari tadi.

Sejak malam tadi lebih 50 aktivis mahasiswa 'berkampung' di hadapan Penjara Kajang sebagai tanda sokongan terhadap Umar.

Selain mahasiswa, turut hadir memberi sokongan siang tadi termasuk ahli politik dari Pakatan Rakyat seperti Ahli Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat, Kartunis Zunar serta selebriti Abby Abadi.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kepada Umar kerana menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas semasa serbuan terhadap gerakan mahasiswa pada April lalu.

Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.

Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa mereka tidak adil.

Aktivis Occupy Dataran berkhemah di Penjara Kajang

 
KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis mahasiswa bertekad akan 'berkampung' di hadapan Penjara Kajang sehingga Isnin ini sebagai tanda protes terhadap keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas aktivis Occupy Dataran, Umar Muhammad Azmi.

Jurucakap Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syaza Muaz Sharudin, 22, berkata, kumpulan mereka telah mula berada di hadapan penjara itu sejak malam tadi dan tidak akan berganjak sehinngga keputusan rayuan didengar, Isnin ini.

“Sejak malam tadi, kami sudah berkumpul dari jam 8 malam dan tidur dalam empat khemah disediakan. Lebih kurang 30 orang tidur di sini malam tadi,” katanya dipetik Keadilandaily.

Katanya, meskipun tiada gangguan polis setakat ini, kumpulan itu dipantau pihak berkuasa dari cawangan khas (SB), sejak malam tadi.

“Lebih kurang 8.45 pagi tadi, ada enam orang polis datang ambil maklumat ahli SMM yang duduk berhampiran khemah. Walaupun nampak tenang dengan himpunan aman, tapi kami dikawal 10 orang polis yang memerhati gerak kami,” ujarnya.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kepada Umar kerana menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas semasa serbuan terhadap gerakan mahasiswa pada April lalu.

Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.

Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa mereka tidak adil.

Thursday, December 20, 2012

Sambutan Ambang 13 (SAM'13) SEMUA DIJEMPUT HADIR


Himpunan 1 Juta Rakyat, 12 Jan di Stadium Merdeka


KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) secara rasmi mengumumkan, Himpunan 1 juta rakyat pada 12 Januari tahun hadapan akan diadakan di Stadium Merdeka.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Mohamad Sabu berkata, ia sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan sebarang tuntutan terhadap kerajaan.

Saranan tersebut dibuat Najib sebelum Gabungan Menuntut Pilihan Raya  Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan pada 28 April lalu.

"Kita mohon (adakan perhimpunan) dibuat di  Stadium Merdeka kerana itulah cadangan Perdana Menteri  yang kita sayangi," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Timbalan Presiden PAS itu juga berkata, permohonan menggunakan stadium dibuat atas nama Sasterawan Negara.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Sasterawan Negara yang dimaksudkan.

"Permohonan stadium atas nama Sasterawan Negara yang terkenal," katanya.
Ujar Mohamad juga, perhimpunan dengan empat warna tema iaitu kuning, hijau, oren dan merah akan bermula jam dua petang dan dijangka akan berakhir jam lima petang tanpa sebarang kekecohan.

"Saya yakin melalui himpunan-himpunan sebelum ini, akan berlaku kerjasama yang baik di semua jabatan termasuk pihak polis untuk menjaga keamanan.

"Kita akan berhimpun tanpa menyerahkan apa-apa memorandum kerana memorandum lapan tuntutan Bersih sudah diserahkan dalam perhimpunan sebelum ini," katanya.

Warna kuning mewakili Bersih, Merah untuk R yang menuntut royalti Petroleum Kelantan, Hijau mewakili Anti Lynas manakala oren mewakili Anak Persatuan Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Antara NGO lain yang akan turut serta dalam perhimpunan ialah  Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),  Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Sekretariat Prihatin OKU, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit) dan beberapa NGO lain.

Dalam sidang media sama, wakil-wakil NGO turut menyatakan komitmen menggerakkan seramai mungkin anggota ke himpunan tersebut.

"Mana-mana individu yang tak sertai mana-mana NGO pun mesti hadir bagi menyatakan kemarahan secara aman," kata Ahli Jawatankuasa Bersih, Hishamuddin Rais.

Penangguhan AES, GST, cukai tel pra-bayar hanya sementara?


KUALA LUMPUR: Jangan seronok dengan penangguhan sistem AES (Automated Enforcement System), GST (cukai barangan dan servis), tarif elekrik, cukai telefon pra-bayar dan sebagainya kerana ini semuanya bersifat sementara saja sehingga BN berkuasa lagi.

“Kesemua ‘hadiah penangguhan’ ini hanya menanti keputusan pilihanraya umum sahaja sebelum ditarik balik.

"Kalau keputusan menyebelahi BN, maka semua yang ditangguhkan ini akan dikuatkuasa semua, dan rakyat akan terus terbeban dengan pelbagai peraturan yang menyusah dan tidak masuk akal,” Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) memberikan peringatan kepada rakyat dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim turut berkata bahawa disebabkan PRU13 dianggap sebagai pilihanraya umum yang paling penting dalam sejarah negara, maka banyak projek mega untuk kroni terpaksa ditangguh dahulu kerana BN khuatir ia akan menjadi peluru bagi PR.

“Rakyat mempunyai kuasa memilih, samada ingin peraturan yang membebankan mereka diterus atau dibatalkan sahaja. Mengekalkan BN bermakna penangguhan sementara akan dikuatkuasa semula, atau menumbangkan BN, maka peraturan itu akan terus dibatalkan,” tegas beliau.

Mengulas mengenai penangguhan sistem AES, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata kemelut itu bukti jelas kepada rakyat untuk melihat caca-merba yang sedang melanda Malaysia.

“Walaupun Menteri Pengangkutan serta anggota kabinet telah berulang kali menyatakan AES tetap akan dilaksanakan, namun terkini ia ditangguhkan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Yang aneh menteri putus untuk laksana, manakala peguam negara boleh batal arahan menteri. Inilah caca-merba yang sedang melanda Malaysia,” kata beliau.

Beliau turut menyindir bahawa situasi ini menimbulkan kekeliruan terhadap “siapa buat polisi dan siapa pelaksana polisi” dan untuk menyelesaikan situasi ini adalah “lebih baik salah seorang letak jawatan.”

“Kalau kira patut peguam negara kerana melanggar arahan menteri, tetapi kalau difikir semula arahan peguam negara dijadikan keputusan, bukan arahan menteri, maka eloklah menteri tu letak jawatan,” kata beliau.

Sebelum ini, atas bantahan rakyat dan desakan PRU13, kerajaan BN telah mengambil keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan GST, cukai telefon pra-bayar dan kenaikan tarif elektrik sehingga selesainya PRU13.

Dua hari yang lalu, Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya semua prosiding kes saman di mahkamah melalui AES digantung serta merta kerana timbul pelbagai masalah yang lain, meskipun saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) serta Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) terus komited dalam usaha mendesak kerajaan menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Wednesday, December 19, 2012

Jangan bermain politik dalam jubah mufti


KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru para mufti agar menjaga nama baik mereka dan tidak bermain politik partisan untuk kepentingan pihak tertentu.

Ingatan itu berhubung kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang didakwa sebagai 'Amanat Haji Hadi'.

"Boleh berbincang dengan cara yang elok dan tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti.

"Jangan jual harga mufti dengan murah," tulisnya dalam Facebook petang tadi.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu lagi, beliau secara peribadi sangat mengenali Tuan Guru Abdul Hadi dan meyakini bahawa ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS itu tidak lebih rendah daripada ilmu yang dimiliki oleh para mufti.

"Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang.

"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," katanya.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilaporkan menggesa Tuan Guru Abdul Hadi menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang pernah dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

Harussani berkata, tidak mudah untuk meletakkan orang itu kafir dan, perkara itu sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti, sementara Wan Zahidi pula berkata, amanat tersebut tidak berbahaya kepada Umno sebaliknya kepada diri Hadi sendiri.

Amanat Tuan Guru Abdul Hadi merujuk kepada satu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh beliau di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Kelantan jayakan hasrat Jelapang Makanan Negara

KOTA BHARU: Kelantan akan menghidupkan tanah terbiar dengan lebih agresif dalam menjayakan hasrat sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang tahun 2015.

Dianggarkan sebanyak 100 hektar tanah terbiar lagi bakal diterokai tahun 2013, berbanding 57 hektar tahun ini dengan pelbagai program pertanian.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata usaha Kelantan untuk menjadikan negeri pertanian tidak pernah silap sejak menerajui kepimpinan negeri tahun 1990 sehingga muncul sebagai pengeluar produk pertanian yang terpenting di negara ini.

Katanya, peningkatan itu hingga berjaya mencapai 19.4 peratus bagi sektor pertanian yang merupakan sebahagian penyumbang besar KDNK tahun 2012.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Bertani Satu Ibadat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

Menurutnya, walaupun telah banyak kawasan tanah terbiar telah diterokai, namun usaha itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Islam menitik beratkan pertanian, kerana itu Kelantan memperkenalkan tema pertanian Bertani Satu Ibadat kerana aspek itu merupakan sebahagian dari ibadat,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun dengan peruntukkan yang kecil hanya RM2.2 juta peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk program pertanian, namun hasil yang diperolehi begitu membanggakan.

“Sema aspek sama ada pertanian, penternakan khususnya lembu pawah begitu berjaya,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Seramai empat orang petani dan pengusaha berjaya menerima cenderahati berupa benih durian dan baja dari Timbalan Menteri Besar pada majlis yang diadakan di Balai Islam, Lundang pagi tadi.

Perpindahan kuasa selepas PRU13 paling aman


KUALA LUMPUR: PAS penuh keyakinan, perpindahan kuasa yang akan berlaku dalam pilihan raya ke 13 nanti bakal berjalan dengan penuh keamanan.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa membayangkan, pihak istana akan memanggil pimpinan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan seawal jam 10 malam hari pilihan raya nanti.

"Ketika itu, Datuk Seri Najib dan Tun Dr Mahathir sibuk untuk meninggalkan negara kerana bimbang dengan kesalahan masa lalu mereka.

"Manakala rakyat keseluruhannya menyambut perubahan kerajaan dengan gembira," kata Husam dalam satu majlis bersama jentera pilihan raya PAS di Kota Bharu baru-baru ini.

Senario ini disebut sekali lagi oleh Husam yang juga Pengarah 'Roadmap  to Putrajaya' PAS ini kepada Harakahdaily.

Oleh kerana semua rakyat menyambut baik perpindahan kuasa ini, beliau yakin semua pihak yang mendokong negara termasuk angkatan tentera dan polis tidak akan bertembung dengan kehendak rakyat.

"Apabila rakyat membuat keputusan yang jelas memberikan mandat kepada Pakatan, saya yakin semua aparatus negara akan bersama rakyat kerana terlalu tinggi risiko yang diambil kalau mereka tidak bersama rakyat," kata Husam penuh keyakinan.

80 kerusi

Maklumat terbaru yang beliau terima menunjukkan BN bakal mendapat hanya sekitar 80 dari 222 kerusi Parlimen sahaja dalam pilihan raya ke 13 nanti.

Beliau juga diberitahu, para pengundi Melayu juga sudah berubah termasuk di kawasan Felda seiring dengan  kajian yang dibuat oleh sebuah badan di Selangor.

"Apabila ini berlaku, masalah yang bakal dihadapi oleh PAS dan parti-parti dalam Pakatan adalah menghadapi permohonan berbondong-bondong para wakil rakyat BN untuk menyertainya.

"Kita tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk menapis mereka sedangkan kita perlu membuat keputusan segera," kata Husam yang merupakan antara pakar strategi PAS itu.

Sebelum ini, Husam yang mula-mula mencadangkan agar negeri-negeri Pakatan membuat pilihan raya berasingan dari kerajaan pusat jika tarikh yang dipilih BN tidak sesuai dengan Pakatan.

Akibatnya, Selangor bertegas tidak mahu mengadakan pilihan raya awal dan menghalang Najib dari menetapkan tarikh pilihan raya bersendirian.

Oleh itu, bagi Husam, apa yang berlaku sekarang mencapai sasaran kenyataan beliau hari itu iaitu BN perlu berunding dengan Pakatan dalam menetapkan tarikh pilihan raya atau menolaknya sehingga ke hujung waktu.

Tuesday, December 18, 2012

Putrajaya: Adil boleh, kalau kecoh tak boleh


KANGAR: “Boleh ke kita ambil Putrajaya,” tanya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perlis di sini, malam tadi.

“Boleh!” jawab para hadirin.

Lantas, Mohamad berkata: “Kalau pilihan raya adil, boleh, kalau kecoh, tak boleh”.

Dengan sebab, katanya diadakan himpunan aman Bersih 1, 2 dan 3 untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata Bersih 4 tidak diadakan kerana telah ‘dicuri’ oleh Umno yang mengadakan ‘tarian punggung’ di hadapan rumah Datuk S Ambiga.

Beliau menegaskan walaupun pilihan raya lalu berlangsung dalam keadaan yang tidak bersih, namun parti pembangkang dapat memenangi lima buah negeri.

Dengan sebab itu, katanya, terdapat pemimpin Umno BN yang mempersoalkan Pakatan Rakyat yang mendakwa perjalanan pilihan raya tidak bersih sedangkan mencapai kejayaan di negeri-negeri berkenaan.

“Mereka kata, pasal apa kamu (Pakatan Rakyat) menang lima negeri, kata (pilihan raya) tak adil.

“Kalau pilihan raya bersih, lama dah kita perintah. Kalau adil, dah lama kamu jadi pembangkang,” ujarnya pada majlis yang diadakan di Kompleks PAS Perlis, Kampung Pondok. Turut berucap ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Sehubungan itu, beliau yakin akan berlaku perubahan dalam pilihan raya umum nanti ekoran sambutan puluhan ribu yang menyertai siri jelajah Himpunan Kebangkitan Rakyat di seluruh negara.

Beliau selanjutnya mengulangi jemputan kepada semua rakyat Malaysia ke Himpunan 1 Juta Rakyat yang akan diadakan di ibu negara pada 12 Januari hadapan.

17 bayi ditahnikkan sempena aqiqah perdana


KOTA BHARU: Seramai 17 orang bayi telah ‘ditahnikkan’ oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena majlis aqiqah perdana hari ini.
(Tengku Amalin [kanan] menyampaikan hadiah kepada peserta)

Majlis yang dirasmikan oleh Tengku Amalin A’Shah Putri itu diadakan di Balai Islam Lundang, di sini tengahari tadi.

Turut hadir pada majlis itu isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu berkata memandangkan kerajaan Kelantan mementingkan golongan remaja, peruntukkan telah ditambah untuk mereka dalam Belanjawan tahun ini sebanyak RM5 juta berbanding RM3.5 juta sebelumnya.

Katanya, anak adalah pelapis keluarga, masyarakat dan negara sebagai pemimpin masa hadapan.

“Kerana itu kerajaan negeri mengutamakan mereka dengan memberikan peruntukkan khas untuk aktiviti bermanfaat selagi tidak bercanggah dengan syarak,”ujarnya.

Hasil pentadbiran kerajaan negeri sejak 22 tahun lalu golongan remaja sekarang tidak tahu tempat-tempat maksiat.


(Tuan Guru Nik Aziz mentahnik salah seorang bayi yang sertai aqiqah perdana)

“Jika tanya mereka mana tempat berjudi, mana tempat hiburan yang melalaikan, mereka tidak akan tahu berbanding sebelum 22 tahun lalu yang sememangnya diketahui oleh remaja ketika itu,”ujarnya.

Rahim ketika berucap pada majlis yang sama berharap semoga anak-anak yang ditahnikkan termasuk bersama Tuan Guru akan menjadi anak yang soleh serta menjadi pewaris para anbia.

Sempena majlis itu juga, Tengku Amalin menyampaikan cenderahati kepada bayi yang bertuah.

‘R’ minta siasat dakwaan kehilangan RM12.3 juta

KOTA BHARU: Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) menuntut kerajaan negeri supaya mendesak Jabatan Audit negeri dan Ketua Audit Negara segera melakukan siasatan ke atas kehilangan wang yang didakwa berjumlah RM12.3 juta.

Surat kepada pihak Kerajaan Negeri berkatian kes itu telah pun dihantar pada 12 Disember 2012 yang lalu.

Presiden Royalti (‘R’), Nazri Deraman dalam satu kenyataan media mendakwa dalam perkembangan terbaru membabitkan ‘Wang Ehsan’ oleh pihak Kerajaan Malaysia terdapat perbezaan angka perbelanjaan yang serius berbanding angka dikeluarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perbezaan ketara juga adalah pada jumlah dikeluarkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Nazri mendakwa, Menteri Kewangan Malaysia mengeluarkan kenyataan perbelanjaan sebanyak RM49.1 juta sedangkan Mustapa serta Jabatan Perdana Menteri ialah sebanyak RM61.4 juta.

Menteri Kewangan Malaysia Datuk Seri Najib ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen pada 23 November 2012 yang lalu mendakwa Kelantan sehingga 30 September 2012 sudah menerima (wang ehsan) sebanyak RM49,186,529.

“Justeru penyelewengan telah berlaku, lesap sebanyak RM12.3 juta,” dakwa Nazri.

Nazri mendakwa, menurut iklan dikeluarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Teknologi Maklumat Malaysia pada 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mendakwa Kelantan layak mendapat  Wang Ehsan sebanyak RM20 juta setahun, manakala Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Datuk Dr Awang Adek (pada kenyataan medianya 29 Julai 2012) mendakwa Kelantan menerima wang ehsan sebanyak RM24 juta setahun, dan tiga tahun menjadi RM72 juta.

Sementara Mustapa pada kenyataan media 5 Ogos 2012 mendakwa Kerajaan Pusat sudah menyalurkan ‘Wang Ehsan' sebanyak RM61.4 juta (RM20.467 setahun) sejak 3 tahun lalu.

“Dalam perkembangan terbaru ini, ‘R’ mendesak supaya Laporan Kewangan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)  Negeri Kelantan khususnya membabitkan pengurusan perbelanjaan ‘Wang Ehsan’ mestilah diaudit segera.

“Ini penting bagi mempastikan ketelusan perbelanjaan wang rakyat khususnya apabila berlaku ketirisan didakwa berjumlah RM12.3 juta wang rakyat,” ujarnya.

Nazri mendakwa, ‘R’ menyedari bahawa penyelewengan, ketirisan dan ketidaktelusan didakwa berlaku dalam ‘skandal wang ehsan’ itu lantaran pengurusannya membelakangi saluran perundangan.

Lim Kit Siang 'minta maaf' kepada Najib


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang (gambar) 'memohon maaf' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno yang lain kerana beliau menang dalam pemilihan DAP baru-baru ini.

"Saya memohon maaf kepada Najib dan pemimpin Umno/BN kerana terpilih semula ke dalam CEC sebagaimana Kongres DAP sebelum ini, kali ini dengan undi paling tinggi," kata Kit Siang dalam kenyataan.

Menurut Kit Siang, Najib dan pemimpin Umno yang lain pergi ke seluruh negara memberitahu bahawa DAP sebuah parti yang tidak demokratik, "mendakwa saya pemimpin DAP walaupun saya tidak terpilih sebagai pemimpin DAP."

"Walaupun hanya memegang jawatan sebagai ahli parlimen dan bukannya pemimpin yang dipilih, Lim Kit Siang terbukti seorang individu yang berkuasa dalam parti pembangkang," kata Najib semasa Perhimpunan Agung Umno 2012 (PAU 12) baru-baru ini.

"Sekarang apakah kebenarannya, adakah Najib tersalah nasihat atau sengaja menipu terhadap saya," kata Lim Kit Siang.

Ketua ulama Syria kunjungan Presiden PAS

(Sheikh Sabuni kunjungi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi di Pejabat Agung hari ini)

KUALA LUMPUR: Ketua Kesatuan Ulama Syria Sheikh Dr Ali As Sobuni mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS tengah hari tadi.

Sheikh As Sobuni, 88, sudah 35 tahun hidup dalam buangan di luar negara akibat hukuman rejim Hafiz Asaad ke atas beliau.

Pengarang kepada puluhan kitab tafsir dan hadis ini menjadi rujukan kepada ilmuan-ilmuan Islam seluruh dunia sejak puluhan tahun yang lalu.

Dalam pertemuan tersebut, Sheikh As Sobuni turut berkongsi pandangan terhadap konflik di Syria yang telah pun membunuh ribuan rakyat negara itu.

Mereka bersama-sama bersetuju Presiden Basyar Asaad mesti berundur dan bertanggungjawab terhadap apa yang melanda Syria hari ini.

Dalam masa yang sama mereka sependapat bahawa perlu kebijaksanaan dalam isu Syria khususnya dalam mendepani campur tangan kuasa-kuasa luar yang berkepentingan.

Sheikh As Sobuni juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih rakyat Syria kepada PAS yang mengambil berat dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa kekejaman.

Sehingga hari ini PAS sudah menghantar lebih dari lima kali bantuan dan rombongan kemanusiaan ke Syria, bagi membantu rakyat negara itu yang ditindas ekoran konflik ini.

Sheikh As Sobuni sedang dalam rangka lawatan ke Malaysia dan Indonesia.

Turut serta dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, dan penolongnya Dr Syed Azman Syed Nawawi serta Setiausaha Akhbar Presiden PAS Mohd Nasaie Ismail.